Ibu-ibu yang mengalami cabaran menjayakan penyusuan ekslusif untuk anakanda tercinta tercari-cari semangat untuk meneruskan misi. Salah satu kisah yang boleh dijadikan teladan adalah kisah dari Al-Quran melalui kisah Nabi Musa yang dilakarkan dalam Surah Al-Qasas.
Nabi Musa hidup di zaman kekejaman Firaun yang menindas kaum Israel sehinggakan setiap bayi lelaki yang lahir di bumi Mesir harus dibunuh. Dalam cabaran itu, ibu Nabi Musa tetap melahirkan baginda dengan selamat dalam keadaan sembunyi-sembunyi. Kemudian, Allah memerintahkan agar ibu Nabi Musa menyusukan baginda. Ini tersebut dalam surah Al-Qasas, ayat ke tujuh.
Dan Kami ilhamkan kepada ibunya Musa, "Susuilah dia (Musa), sekiranya engkau khuatir terhadapnya, maka hanyutkanlah dia ke sungai Nil. Dan janganlah engkau takut dan jangan (pula) engkau bersedih hati, sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya salah seorang rasul."
Lalu dengan berat hati, dalam takut dan harap, ibu Nabi Musa menghanyutkan baginda seperti yang diperintahkan. Kakak Nabi Musa diperintah sang ibu agar menyusul adiknya, memerhatikan ke mana berlabuhnya 'kotak' Nabi Musa.
Akhirnya, Nabi Musa hanyut dan berlabuh di taman Firaun, tempat isterinya Asiah bermain. Asiah tertarik hati pada Musa lalu memujuk Firaun untuk menjadikan Musa sebagai anak angkat. Sekeras mana hati suami, dipujuk dirayu isteri tersayang, egonya lentur jua.
Dan isteri Firaun berkata, "Dia adalah penyejuk mata hati bagiku dan bagimu. Janganlah engkau membunuhnya, mudah-mudahan dia bermanfaat kepada kita atau kita ambil dia menjadi anak," sedangkan mereka tidak menyedari.
Hati ibu Musa yang bersedih dan takut akan nasib Nabi Musa di tangan Firaun menyebabkan hatinya goyah. Hampir saja dia membongkarkan rahsia bayi misteri yang berlabuh di istana Firaun. Namun, Allah tetap meneguhkan hatinya.
Dan hati ibu Musa menjadi kosong. Sungguh hampir saja dia menyatakannya (rahsia tentang Musa), seandainya tidak Kami teguhkan hatinya, agar dia termasuk orang-orang yang beriman (kepada janji Allah).
Demikian, apabila Allah berjanji, janji itu pasti ditunaikan. Janji yang tak perlu diragui.
Kakak Musa yang mengekorinya sedar Musa telah selamat tiba di istana. Suasana kecoh seketika kerana anak kecil itu tidak henti menangis. Firaun lalu menawarkan upah kepada mana-mana wanita yang boleh menyusukan Musa. Ramailah wanita yang hadir ke istana mencuba nasib namun kesemuanya gagal kerana Musa enggan menyusu dengan mereka. Keadaan ini membuka peluang kepada kakak Musa untuk mencadangkan seorang perempuan yang baik dan sesuai sebagai ibu susuan Musa.
Dan Kami cegah dia (Musa) menyusu kepada perempuan-perempuan yang mahu menyusuinya sebelum itu; maka berkatalah dia (saudara Musa), "Maukah aku tunjukkan kepadamu, keluarga yang akan memeliharanya untukmu dan mereka dapat berlaku baik kepadanya?"
Cantik aturan Allah yang menahan Musa menyusu dari wanita selain ibunya.
Maka Kami kembalikan dia (Musa) kepada ibunya, agar senang hatinya dan tidak bersedih hati, dan agar dia mengetahui bahawa janji Allah adalah benar, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahuinya.
Demikianlah aturan Allah. Dari keadaan kelahiran yang dirahsiakan, Musa diselamatkan dan disatukan kembali dengan ibunya setelah dihanyutkan ke Sungai Nil sehingga ke istana Firaun. Dari ketakutan yang amat sangat hinggalah si ibu gembira menyusukan si anak dengan tenang. Menyusu anak dari istana dapat upah pulak tu. Asalkan berpegang pada janji Allah, Insyaallah semuanya selamat, semuanya berkat.
Begitulah kisah penyusuan Nabi Musa yang penuh liku tapi sangat memotivasikan. Apabila Allah menurunkan perintah, pasti ada jalan yang terbuka bagi mereka yang patuh.
Jadi ibu-ibu, ketahuilah Allah memerintahkan agar seorang anak yang dilahirkan diberikan hak untuk menyusu selama 2 tahun genap. Malah diperintahkan kepada suami untuk memberi upah kepada isteri yang menyusukan sendiri anak mereka. Sekiranya tidak mampu maka diharuskan untuk mengupah wanita lain sebagai ibu susuan. Semoga dipermudahkan jalan ibu yang berazam untuk menyusu anak kandung tercinta.
No comments:
Post a Comment