Followers

Monday, April 21, 2014

[Kembara Turki] Nikmat Solat Dalam Kapal Terbang


Baru-baru ini saya diberi kesempatan bercuti 10 hari. Bermusafir ke bumi yang kaya dengan sejarah Islam, Rom dan Greek - Turki. Perjalanan bermula pada 26-Mac, ketika kes kehilangan MH370 masih panas. [Takziah kepada keluarga anak kapal dan penumpang].



Kami menaiki MAS dari KLIA ke Istanbul. Perjalanan mengambil masa hampir 10 jam. Bertolak awal pagi, 1 pagi lebih kurang waktu Malaysia dan mendarat di bumi Turki jam 6.30 pagi waktu tempatan. Lama betul. Lama tak lama, ada beberapa movie yang sempat saya tonton. Tidur berkali-kali. Makan 2 kali.

Dalam tempoh 10 jam, dalam ruang yang sempit, pergerakan sangat terbatas, sekali sekala sahaja saya bangun dari tempat duduk. Itupun bila mendapat panggilan encik tandas.

10 jam kaku di tempat duduk dalam keadaan bersandar dan kaki tergantung...cukup untuk membuat kaki jadi bengkak dan sembap, sampai tak muat kasut! Ini akibat pengaliran darah yang terbantut. Sakit belakang dan sakit pinggang tak usah cakap la.
[Macam mana la keadaan orang sakit di hospital yang tergantung kaki dan tangan tak boleh bergerak tu ye. Moga cepat sembuh].

Bertolak di awal pagi, solat Isyak sudah ditunaikan di tanah air Alhamdulillah. Tapi, solat Subuh harus ditunaikan dalam kapal terbang. Dalam situasi saya, dapat seat di tengah-tengah, tengah malam waktu orang tidur pula...situasi agak sukar kalau nak solat sambil duduk. Kerusi orang depan yang mencari keselesaan tidur, ditolak habis rapat ke belakang...macam mana nak tunduk untuk rukuk dan sujud.

Akhirnya, setelah bertanya waktu solat Subuh ikut waktu tempatan (ikut tempat yang di lalui sebab belum sampai ke destinasi), kami segera berwuduk. Saya mencuba nasib bertanya pada pramugara kot-kot ada tempat sesuai yang lebih lapang untuk kami solat. Alhamdulillah ada. Pramugara membawa kami ke ruang di hadapan kapal, berdekatan dengan cockpit pesawat, ada sedikit ruang yang muat untuk seorang solat. Ketika itu, seorang krew kapal baru selesai solat. Boleh solat berdiri! Lebih baik dari solat duduk dalam keadaan terhimpit.

Nikmat solat berdiri dalam kapal terbang tak dapat digambarkan kegembiraannya. Dapat rukuk dan sujud seperti biasa selepas duduk terlalu lama...kelegaan pada urat-urat amat luar biasa. Rasa nak sujud lama-lama. Lega sangat-sangat urat belakang dan pinggang. Urat kaki pun rasa best bila dapat duduk antara dua sujud dan tahiyyat. Ahamdulillah. Kesan serta merta yang lebih efektif dari makan Ostematrix dan AJHT.

Jika anda perlu travel jauh, dan perlu solat dalam kapal terbang..cuba-cubalah tanyakan pramugara/pramugari bertugas ruang solat yang lebih selesa. Kemungkinan besar ada jika menaiki pesawat dari negara Islam. :)

Selepas 10 jam terbang (dalam keadaan mendebarkan), kami akhirnya selamat mendarat di Ataturk International Airport, Istanbul jam 6.30 pagi waktu tempatan. Terkesan dengan kes MH370, semua penumpang mengucap syukur dan bertepuk tangan sebaik juruterbang selamat mendaratkan kapal yang kami naiki. Alhamdulillah.
Istanbul aku datang!




Lambaian Masjid Biru.


2 comments:

  1. Assalamua'laikum..hi ..saya nak tnya..masa u solat subuh dalam flight tu dalam pukul brape yeh?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumussalam. Lupa pukul berapa. Tapi sebelum tu check dengan crew waktu solat. Saya naik MAS masa tu.

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...