Pukul 11.30 pagi, perut mula berkeroncong, berdendang sayang dan kadang kala berdikir barat. Jam 12 tengah hari, kitalah orang pertama beratur di kaunter makanan. Lapar. Pesan kat kakak yang tolong ceduk nasi, letak lebih sikit kak. Saya lapar ni.
Selesai memilih lauk-pauk dan sayur yang berkenan di tekak, bayar di kaunter bayaran, mata melilau mencari port paling best untuk menikmati hidangan tengah hari. Bermula dengan Bismillah, suapan pertama menyapa dimulut. Dikunyah dan ditelan penuh nikmat. Alhamdulillah. Bagai terasa nasi menuruni esofagus menuju ke perut. Asid hidroklorik yang merembes di dinding perut perlahan-lahan di neutralkan dengan hidangan tengah hari. Makanan mula mengambil tempat angin. Sedikit demi sedikit, ruang perut mula terisi. Akhirnya selesai. Lega yang amat. Lepas ni boleh fokus buat kerja/menghadap kelas tanpa diganggu bunyi-bunyian dari perut lagi.
Namun, yang berlaku adalah sebaliknya. Ku harapkan perut yang kenyang membantu kerja-kerja di sisa hari dilangsai sebaik mungkin, kiranya makin sukar menumpukan perhatian. Perut sedang sarat, mata juga mula memberat. Layu. Otak mula merayau entah ke mana. Kantuk sudah menyerang!
Mengantuk selepas makan! Fenomena biasa. Mengantuk selepas makan hari Isnin, berlarutan mengantuk hingga lepas makan hari Jumaat. Biasakan? Mengantuk biasa dikaitkan dengan perut yang kenyang. Pinggan diisi nasi sehingga tertutup seluruh dasarnya, siap membukit lagi.
Menganalisa rutin mengantuk selepas makan ini, akhirnya saya bertemu jawapan. Seorang rakan sekerja dari Egypt berkunjung ke Malaysia, jarang makan nasi. Sehinggakan sukar sekali kami memikirkan tempat makan yang sesuai untuk beliau. Ya lah, rata-rata kedai makan di Malaysia ni menghidangkan makanan kegemaran saya, NASI. Beliau tak makan nasi, roti, makanan segera dan makanan pedas. Beliau cuma makan sayuran dan lauk-pauk. Itupun memilih cara masakan yang sihat sahaja. Tidak boleh masin, terlalu berminyak dan bermacam lagi. Apabila di tanya, kenapa tak makan nasi dan roti?
Katanya, dia pantang makan nasi. Wajib mengantuk. Puncanya adalah nasi atau roti. Rupa-rupanya, nasi dan roti ini tergolong dalam makanan tinggi indeks glisemiknya (high glycemic index). Indeks glisemik merupakan ukuran kadar kecepatan sesuatu makanan meninggikan paras glukosa dalam darah. Lebih cepat paras glukosa naik, lebih tinggi indeks glisemik makanan tersebut. Nasi/Roti (karbohidrat) tergolong dalam makanan tinggi indeks glisemik. Oleh sebab itu, setiap kali kita makan nasi (yang banyak), paras gula dalam darah meningkat dengan cepat lalu menyebabkan mata mengantuk. Pengetahuan tentang indeks glisemik makanan juga amat membantu kita merancang menu kesihatan. Oleh kerana itu, pakar kesihatan sering menyarankan kita mengambil lebih sayur/buah/lauk dari sumber selain karbohidrat sebagai cara mengawal berat badan sekaligus menjaga kesihatan secara keseluruhan.
Jadi kita amat digalakkan mengambil banyak sayur, lauk dan kurangkan nasi dari beras tinggi indeks glisemik. Ada juga beras yang rendah indeks glisemiknya, seperti beras perang.
Untuk makan pagi, Prof Dr Muhaya ada menyarankan banyakkan lauk/sayur dalam sarapan.Kalau goreng nasi atau mee, banyakkan udang, ayam, sayur di dalamnya. Elok juga banyakkan protien dalam sarapan pagi supaya segar memulakan kerja serta tidak terketar kelaparan sebelum masuk waktu makan tengah hari. Anda boleh cuba resepi ini - susu dengan protien untuk sarapan pagi.
Dah tau rahsia besar ini, bolehlah kita pakat mengelak mengantuk lepas makan lagi untuk hari esok dan seterusnya . Makan tetap kenyang, prestasi tetap terjaga.
Senarai Indeks Glisemik boleh didapati di sini.
No comments:
Post a Comment